Tuesday 3 September 2013

PAHIT MANIS HAMIL, MELAHIRKAN DAN BERPANTANG BERSALIN

                                                                               

Betapa pahit dan manisnya pengalaman berpantang bagi wanita yang baru bersalin. Walaupun tempoh pantang selama 44 hari adalah suatu masa yang amat menguji kesabaran, boleh dikatakan sebilangan besar wanita masih tekun dan rela mengikuti tradisi ini. Dikatakan wanita yang rajin berpantang dijamin akan mendapat kembali potongan badan asal mereka, menjadi sihat dan cergas seperti sedia kala, kelihatan jelita dan mampu mengekalkan minat suami terhadap mereka.

Sesungguhnya, amalan-amalan berpantang adalah satu proses menyeluruh, bertujuan untuk memelihara kesihatan dan kewanitaan perempuan kini.

Berpantang bertumpu kepada penyembuhan rahim yang dikatakan merupakan pendorong hidup wanita yang menentukan kesihatan diri mereka secara keseluruhannya. Rahim yang sihat menghasilkan ibu yang kelihatan berseri dan menarik pada pandangan.

Terdapat beberapa amalan pantang-larang yang jarang diikuti atau tidak dapat dilakukan kesemuanya oleh ibu baru, wanita berkarier di bandar kerana lazimnya di kota dan bandar kekurangan struktur sokongan tradisional dan masa untuk membolehkan mereka memerhatikan setiap aspek berpantang dengan sepenuhnya. Juga kerana
ketiadaan ahli keluarga dan masyarakat sekeliling yang dapat memberi sokongan sebagaimana kehidupan masyarakat di kampung dahulu.